Sunday, November 16, 2008

Kerajaan negeri akan sentiasa bantu SAR

IPOH, 17 Nov (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak akan sentiasa memastikan sekolah-sekolah agama rakyat terus dibela dan diangkat martabatnya kerana kerajaan negeri tidak rela melihat sekolah-sekolah agama rakyat berada dalam keadaan daif dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

"Kerajaan Negeri dengan kemampuan yang ada akan membantu sekolah agama rakyat di negeri ini."

Demikian ditegaskan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim yang mewakili Menteri Besar Perak ketika berucap di Majlis Ihtifal Sekolah Rendah Islam Al-Ummah kali ke-16 yang diadakan di bangunan Perak Techno Trade Center (PTTC) di sini, semalam.

Menurut beliau, zaman malap sekolah agama rakyat telahpun berlalu, kini sekolah sekolah agama rakyat perlu merasa gembira kerana zaman tersebut telahpun berlaku apabila Pakatan Rakyat mengambil alih terajui negeri Perak dari BN.

Ini dibuktikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak apabila dalam Bajet 2009 yang baru diluluskan baru-baru ini telah peruntukan perkapita sebanyak RM60 seorang untuk sekolah rendah dan RM70 seorang untuk sekolah menengah.

"Saya merasa hairan ada orang yang mengaku Islam namun sanggup melihat sekolah agama 'dimatikan' dengan ditahan perkapita, ibu bapa diugut dan sebagainya," tegas beliau.

Katanya, semasa membahaskan Bajet 2008 Negeri Perak beliau mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Yayasan Islam Perak (YIP) bagi membantu memajukan pendidikan Islam di negeri ini.

Beliau berharap cadangan tersebut akan diterima demi kemajuan pendidikan Islam di negeri ini sekali gus mampu memartabatkan kembali sekolah-sekolah agama rakyat yang satu ketika dahulu menjadi kebanggaan umat Islam. - mns _

Seja o primeiro a comentar

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO